Friday, May 27, 2011

AKU SEBUAH BANGUNAN


Teringat zaman sekolah rendah dulu di mana di antara bentuk karangan yang diajar dan ditugaskan ialah seseorang itu menulis seolah-olah dia sebuah objek atau haiwan. “saya sebuah basikal”, “saya sepasang kasut”, “saya seekor kucing” dan sebagainya, lalu diceritakan kisahnya dari awal hingga akhir.


Maka pada permulaan post blog kali ini, saya ingin berkongsi seolah-olah saya sebuah bangunan (bersempena dengan kemasukan saya ke salah sebuah IPTA dalam bidang Kejuruteraan Bangunan..hehe).


Saya siap dibina pada tahun 2008 dan merupakan salah satu di antara deretan kedai di pusat perniagaan di University Apartment. Saya dibeli oleh seorang manusia yang bernama Encik Nasr dan dia menyenaraikan saya sebagai salah satu unit kedai untuk disewa.


Penyewa saya yang pertama ialah Encik Saif dan beliau menjadikan saya sebuah pusat belajar muzik. Ramai kanak-kanak kecil hingga belasan tahun dihantar oleh ibu bapa mereka untuk belajar muzik. Saya memiliki beberapa bilik kecil di mana setiap bilik menempatkan alat muzik yag berbeza-beza – piano, violin, gitar dan drum. Encik Saif tidak menggantungkan papan tanda nama perniagaannya kerana menjimatkan kos, akan tetapi orang ramai telah menggelarnya akademi muzik Encik Saif.


Walau bagaimanapun setelah beberapa ketika, jumlah peserta akademi ini semakin berkurangan hingga Encik Saif menghadapi kesukaran membayar sewa bulanan kepada Encik Nasr. Akhirnya perniagaan akademi ini ditutup dan saya sekali lagi disenaraikan sebagai unit kedai untuk disewa.


Beberapa bulan berlalu sehinggalah datang Cik Fiza yang menyewa saya dan menjadikan saya pusat tuisyen untuk kanak-kanak sekolah rendah.


Cik Fiza membahagikan bilik-bilik saya kepada pelajar darjah tertentu. Bilik terbesar dikhaskan kepada pelajar darjah enam yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Tiga bilik lain dikhaskan kepada pelajar darjah lima, empat dan tiga. Cik Fiza menggantung papan tanda yang besar di atas pintu masuk utama. Saya diberi nama Pusat Tuisyen Cemerlang Gemilang.


Sungguh pun begitu, saya dapat meresakan pusat tuisyen ini tidak cemerlang, tidak gemilang. Tenaga pengajarnya tidak berdisiplin, tidak berdedikasi, mengakibatkan murid-murid yang hadir ke kelas tuisyen lebih banyak bermain daripada belajar. Ini jauh berbeza dari tenaga pengajar sebelum ini, mereka berdisiplin lagi berdedikasi mengajar muzik dan tarian sehingga mampu mencemerlangkan para pelajar ke dunia seni. Hanya pada kiraan saya, yuran bulanan yang agak tinggi menyebabkan ia kurang mendapat sambutan.


Yuran yang agak rendah menyebabkan saya pada kali ini dihadiri oleh lebih ramai kanak-kanak. Bagi mengatasi masalah murid-murid yang lebih bermain daripada belajar, Cik Fiza telah menggantungkan beberapa syarat pembelajaran di setiap bilik pengajian dan di pintu masuk hadapan. Namun ia hanya umpama hiasan, tiada siapa yang memerhatikannya, apatah lagi untuk mengikutinya.


Pada hujung tahun 2009, keputusan UPSR diumumkan. Seperti yang saya jangkakan, para pelajar darjah enam Pusat Tuisyen Cemerlang Gemilang tidak mendapat keputusan yang cemerlang mahupun gemilang. Ibubapa menjadi marah dan hampa dengan pusat tuisyen ini dan amat sedikit di antara mereka yang mendaftar anak-anak mereka pada tahun 2010. Ini menyebabkan Cik Fiza terpaksa menutup perniagaannya yang hanya berumur setahun dan saya sekali lagi dikosongkan, menunggu penyewa baru.


Begitulah kisah saya secara ringkas. Sementara menunggu penyewa baru, saya hanya dikenali sebagai kedai no. 4, nombor jersi pemain bola sepak England bernama Steven Gerrad yang juga menggunakan jersi nombor 8 dalam klub Liverpool yang merupakan posisi saya, lorong 8 Universiti apartment.oppps offside sudah cerita nie..

Apa cerita sebenarnya?

Agaknya ramai pembaca yang tertanya-tanya, apa dan ke mana saya hendak bawa cerita

“saya sebuah bangunan”

di atas.

Cerita di atas hanyalah permisalan kepada subjek “Negara Islam” dan perlembagaan al-Quran dan as-Sunnah yang sering di tekankan oleh sebahagian sahabat-sahabat saya, mungkin juga di kalangan para pembaca yang saya hormati sekalian. Ringkasnya, ramai yang memberi penekanan sama ada Malaysia sebagai sebuah “ Negara Islam” atau “An Islamic State” yang memiliki perlembagaan al-Quran dan as-Sunnah. Ini adalah penekanan yang baik namun manakah yang lebih utama, nama atau pengisian???


Sebuah negara boleh diumpamakan dengan sebuah kedai, di mana yang penting bukanlah nama tetapi apa yang dilakukan di dalam kedai itu. Jika sebuah kedai itu mengajar muzik, maka orang ramai akan menggelarnya akademi muzik, selagi tiada papan nama yang digantung di atas pintu utama kedai. Jika sebuah kedai itu dinamakan Pusat Tuisyen Cemerlang Gemilang namun para pengajar dan pelajarnya tidak cemerlang dan gemilang, maka nama itu tidak memiliki apa-apa erti baginya.


Jika sebuah kedai itu difungsikan oleh para penghuninya yang berdisiplin lagi berdedikasi, maka ia akan mencapai matlamatnya. Jika sebuah kedai itu digantung syarat-syarat matlamatnya namun tiada penghuni yang mengikutinya, maka matlamat itu tidak akan tercapai.


Demikian juga bagi sebuah negara . jika kebanyakan warganya beragama Islam dan bebas mempraktikkan Islam, ia akan dikenali sebagai negara Islam. Mana-mana pengembara yang memasuki negara itu akan mengenali ia negara Islam tanpa perlu ada pengisytiharan rasmi bahawa ia sebuah negara Islam. Maka yang penting adalah pengisian dalam sesebuah negara dan bukan nama yang diisytiharkan.


Demikian jugalah jika warga sesebuah negara sentiasa meletakkan al-Quran dan as-Sunnah di tangga teratas, mereka akan menjadi Muslim yang memiliki manhaj yang benar.

Friday, May 20, 2011

IMAM ABU HANIFAH

Ibnu Jauzi rahimahullah menyebut dalam kitab al-Adhkiya bahawa Yahya ibn Ja’far rahimahullah mengatakan dia pernah mendengar Imam Abu Hanifah rahimahullah bercerita seperti berikut:

Suatu hari aku pergi ke sebuah sumber air yang berada di sebuah kampung pedalaman. Apabila sampai sahaja di tempat yang aku tujui itu, seorang Arab Badwi menghampiriku dengan membawa satu bekas air. Aku teringin hendak membeli air tersebut. Orang Arab Badwi itu hanya mahu menjual kepadaku dengan harga 5 dirham. Akhirnya aku pun membeli bekas air tersebut dengan harga 5 dirham.

Setelah menerima air tersebut, aku berkata kepada Arab Badwi itu,

“Wahai tuan, apakah engkau ingin roti?”

“Jika engkau ada roti, berilah kepadaku!” ujarnya..

Maka aku pun memberinya sepotong roti tepung yang sudah disapu minyak. Orang Arab Badwi ini makan roti itu dengan lahapnya. Setelah itu dia kehausan lalu berkata kepadaku,

“Berilah aku seteguk air.”

“Boleh tetapi engkau perlu membayar 5 dirham” jawabku..

Ternyata orang Arab Badwi ini bersetuju dengan tawaranku dan aku memberinya seteguk air minum dengan harga 5 dirham.

“Demikianlah akhirnya aku dapat memiliki semula wang 5 dirhamku dan juga satu bekas air yang airnya hanya berkurang satu teguk sahaja.” Jelas Imam Abu Hanifah rahimahullah..

~Ternyata bidang PERNIAGAAN memerlukan SENI KEMAHIRANyang tersendiri~

Thursday, May 19, 2011

KERAJAAN SINGA


Dikatakan bahawa ketika sang singa memimpin semua haiwan di muka bumi, ia telah memerintah dengan adil seperti gelagat raja yang ideal.


Di zaman pemerintahannya, ia sentiasa mengadakan musyawarah serta mengadakan aturan kehidupan yang mensyaratkan setiap binatang hidup dalam keadaan aman damai.


Serigala dan kambing, harimau dan rusa, anjing dan arnab, semuanya hidup dalam keadaan aman sejahtera..


Maka berkatalah sang Arnab:

“Betapa ingin aku menikmati kehidupan seperti ini di kala yang lemah hidup di sisi yang kuat tanpa sebarang kebimbangan”


Demikianlah suasana indah yang dicetuskan oleh sebuah pemerintahan yang adil..

Suasana ini menuntut setiap pemimpin menjalankan tugas masing-masing dengan adil dan cemerlang~

Sunday, May 15, 2011

MARUAH BANGSA



Apabila tentera Islam di bawah kepimpinan Panglima al-Muthanna bin al-Harithah al-Syaibani berangkat ke medan perang, mereka telah berhadapan dengan tentera Persia yang berjumlah 12 000 orang. Tentera Persia itu telah dipimpin oleh seorang panglima yang bernama Mehran al-Hamdani di bawah naungan Kisra Buran Dokht.

Pertempuran itu berlangsung di sebuah tempat yang bernama Buwaib di tepi Sungan Furat. Tentera Persia merupkan tentera berani dan terlatih. Malah mereka pernah mengalahkan tentera Romawi dalam siri-siri peperangan mereka.

Apabila melihat keadaan sebegitu, al-Muthanna sebagai ketua harus menunjukkan kepimpinan beliau. Sebagai pemimpin yang unggul, mereka tidak akan berundur bahkan mereka sanggup berkorban asalkan memberi keuntungan yang besr kepada umat Islam.

Lalu di atas kuda yang bernama Syamus, al-Muthanna dengan berani memberikan amaran kepada umat Islam sekaligus satu motivasi yang berbentuk cabaran. Di sinilah terpamernya kepimpinan beliau yang sangat berani sehingga memungkinkan beliau menggantikan tempat Pedang Allah yang terhunus, Khalid al-Walid RA.

Beliau dengan berani melaungkan semangat motivasi kepada tentera Islam yang telah terkena virus ketakutan

"Wahai askar-askarku yang berani!
Jangan aib noda melekat pada dirimu, kerana bererti akan melekat juga pada seluruh bangsa Arab"

Menggunakan elemen bangsa dalam keadaan sebegitu adalah satu skill dan kemahiran yang dibenarkan dalam Islam. Al-Muthanna tidak senang melihat ketakutan yang sudah mula singgah menepuk jiwa-jiwa tentera Islam, mara ke hadapan dengan berani.

Beliau menonjolkan keberanian yang di luar kebiasaan seraya meniupkan semangat. Lalu, semangat yang kendur dan lentur terbakar semula menyebabkan tentera Islam tanpa berasa gusar mara ke hadapan dengan laungan hati yang waja, "Wa Islamah" dan "Wa Muhammadah".

Demi Islam dan demi Muhammad, perjuangan akan diteruskan~

pengajaran:

1. Seorang ketua mesti menunjukkan keberanian dalam semua keadaan. Nabi SAW sendiri pernah mendedahkan diri dalam kancah bahaya dalam perang uhud semata-mata ingin menyelamatkan para sahabat yang tidak menyedari kehadiran musuh..

2. Setiap orang mesti berkeyakinan dengan kemampuan diri sendiri dan jangan bergantung dengan kepimpinan orang lain semata-mata. Disebabkan itulah sesebuah organisasi mesti melatih seramai mungkin pimpinan yang mampu memimpin..