Friday, May 27, 2011

AKU SEBUAH BANGUNAN


Teringat zaman sekolah rendah dulu di mana di antara bentuk karangan yang diajar dan ditugaskan ialah seseorang itu menulis seolah-olah dia sebuah objek atau haiwan. “saya sebuah basikal”, “saya sepasang kasut”, “saya seekor kucing” dan sebagainya, lalu diceritakan kisahnya dari awal hingga akhir.


Maka pada permulaan post blog kali ini, saya ingin berkongsi seolah-olah saya sebuah bangunan (bersempena dengan kemasukan saya ke salah sebuah IPTA dalam bidang Kejuruteraan Bangunan..hehe).


Saya siap dibina pada tahun 2008 dan merupakan salah satu di antara deretan kedai di pusat perniagaan di University Apartment. Saya dibeli oleh seorang manusia yang bernama Encik Nasr dan dia menyenaraikan saya sebagai salah satu unit kedai untuk disewa.


Penyewa saya yang pertama ialah Encik Saif dan beliau menjadikan saya sebuah pusat belajar muzik. Ramai kanak-kanak kecil hingga belasan tahun dihantar oleh ibu bapa mereka untuk belajar muzik. Saya memiliki beberapa bilik kecil di mana setiap bilik menempatkan alat muzik yag berbeza-beza – piano, violin, gitar dan drum. Encik Saif tidak menggantungkan papan tanda nama perniagaannya kerana menjimatkan kos, akan tetapi orang ramai telah menggelarnya akademi muzik Encik Saif.


Walau bagaimanapun setelah beberapa ketika, jumlah peserta akademi ini semakin berkurangan hingga Encik Saif menghadapi kesukaran membayar sewa bulanan kepada Encik Nasr. Akhirnya perniagaan akademi ini ditutup dan saya sekali lagi disenaraikan sebagai unit kedai untuk disewa.


Beberapa bulan berlalu sehinggalah datang Cik Fiza yang menyewa saya dan menjadikan saya pusat tuisyen untuk kanak-kanak sekolah rendah.


Cik Fiza membahagikan bilik-bilik saya kepada pelajar darjah tertentu. Bilik terbesar dikhaskan kepada pelajar darjah enam yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Tiga bilik lain dikhaskan kepada pelajar darjah lima, empat dan tiga. Cik Fiza menggantung papan tanda yang besar di atas pintu masuk utama. Saya diberi nama Pusat Tuisyen Cemerlang Gemilang.


Sungguh pun begitu, saya dapat meresakan pusat tuisyen ini tidak cemerlang, tidak gemilang. Tenaga pengajarnya tidak berdisiplin, tidak berdedikasi, mengakibatkan murid-murid yang hadir ke kelas tuisyen lebih banyak bermain daripada belajar. Ini jauh berbeza dari tenaga pengajar sebelum ini, mereka berdisiplin lagi berdedikasi mengajar muzik dan tarian sehingga mampu mencemerlangkan para pelajar ke dunia seni. Hanya pada kiraan saya, yuran bulanan yang agak tinggi menyebabkan ia kurang mendapat sambutan.


Yuran yang agak rendah menyebabkan saya pada kali ini dihadiri oleh lebih ramai kanak-kanak. Bagi mengatasi masalah murid-murid yang lebih bermain daripada belajar, Cik Fiza telah menggantungkan beberapa syarat pembelajaran di setiap bilik pengajian dan di pintu masuk hadapan. Namun ia hanya umpama hiasan, tiada siapa yang memerhatikannya, apatah lagi untuk mengikutinya.


Pada hujung tahun 2009, keputusan UPSR diumumkan. Seperti yang saya jangkakan, para pelajar darjah enam Pusat Tuisyen Cemerlang Gemilang tidak mendapat keputusan yang cemerlang mahupun gemilang. Ibubapa menjadi marah dan hampa dengan pusat tuisyen ini dan amat sedikit di antara mereka yang mendaftar anak-anak mereka pada tahun 2010. Ini menyebabkan Cik Fiza terpaksa menutup perniagaannya yang hanya berumur setahun dan saya sekali lagi dikosongkan, menunggu penyewa baru.


Begitulah kisah saya secara ringkas. Sementara menunggu penyewa baru, saya hanya dikenali sebagai kedai no. 4, nombor jersi pemain bola sepak England bernama Steven Gerrad yang juga menggunakan jersi nombor 8 dalam klub Liverpool yang merupakan posisi saya, lorong 8 Universiti apartment.oppps offside sudah cerita nie..

Apa cerita sebenarnya?

Agaknya ramai pembaca yang tertanya-tanya, apa dan ke mana saya hendak bawa cerita

“saya sebuah bangunan”

di atas.

Cerita di atas hanyalah permisalan kepada subjek “Negara Islam” dan perlembagaan al-Quran dan as-Sunnah yang sering di tekankan oleh sebahagian sahabat-sahabat saya, mungkin juga di kalangan para pembaca yang saya hormati sekalian. Ringkasnya, ramai yang memberi penekanan sama ada Malaysia sebagai sebuah “ Negara Islam” atau “An Islamic State” yang memiliki perlembagaan al-Quran dan as-Sunnah. Ini adalah penekanan yang baik namun manakah yang lebih utama, nama atau pengisian???


Sebuah negara boleh diumpamakan dengan sebuah kedai, di mana yang penting bukanlah nama tetapi apa yang dilakukan di dalam kedai itu. Jika sebuah kedai itu mengajar muzik, maka orang ramai akan menggelarnya akademi muzik, selagi tiada papan nama yang digantung di atas pintu utama kedai. Jika sebuah kedai itu dinamakan Pusat Tuisyen Cemerlang Gemilang namun para pengajar dan pelajarnya tidak cemerlang dan gemilang, maka nama itu tidak memiliki apa-apa erti baginya.


Jika sebuah kedai itu difungsikan oleh para penghuninya yang berdisiplin lagi berdedikasi, maka ia akan mencapai matlamatnya. Jika sebuah kedai itu digantung syarat-syarat matlamatnya namun tiada penghuni yang mengikutinya, maka matlamat itu tidak akan tercapai.


Demikian juga bagi sebuah negara . jika kebanyakan warganya beragama Islam dan bebas mempraktikkan Islam, ia akan dikenali sebagai negara Islam. Mana-mana pengembara yang memasuki negara itu akan mengenali ia negara Islam tanpa perlu ada pengisytiharan rasmi bahawa ia sebuah negara Islam. Maka yang penting adalah pengisian dalam sesebuah negara dan bukan nama yang diisytiharkan.


Demikian jugalah jika warga sesebuah negara sentiasa meletakkan al-Quran dan as-Sunnah di tangga teratas, mereka akan menjadi Muslim yang memiliki manhaj yang benar.

No comments:

Post a Comment